Saturday, July 18, 2009

PANDUAN CANTUMAN DAN PEMANGKASAN POKOK LIMAU

PROSES PENYEDIAAN BAHAN TANAMAN CARA CANTUMAN

  • Pemilihan Baka Pokok Penanti
    Pokok penanti yang sesuai digunakan untuk cantuman limau ialah jenis Troyer citrange, Cleopatra dan Rangpur lime. Pokok penanti yang dipilih hendaklah tahan kepada penyakit utama seperti tristeza dan phythopthora, mudah dibiak sesuai untuk beberapa jenis tanah dan sesuai dicantum dengan limau yang hendak dibiakkan.

  • Pemilihan Matatunas
    Matatunas mesti diambil daripada pokok yang subur dan bebas daripada segala penyakit terutama virus dan greening. Ranting sebesar batang pensil dengan tunas-tunas dorman di celah ketiak daun dipilih. Mata tunas seelok-eloknya digunakan segera selepas dipotong.

  • Kaedah Cantuman
    Kaedah cantuman yang disyorkan ialah cantuan tunas kepingan, cantuman tunas T, cantuman tunas serpihan dan cantuman tunas baji sisi.

  • Cantuman Tunas Kepingan (patch budding)
    Cara ini merupakan satu daripada cantum
    an yang paling biasa digunakan untuk limau dan buah-buahan tropika lain. Dengan teknik ini, pokok penanti dan matatunas yang digunakan hendaklah sama garis pusat dan umurnya. Cara mencantum adalah dengan memotong kepingan berbentuk empat persegi bujur pada pokok penanti. Bekas potongan itu dilekatkan dengan kepingan matatunas yang sama saiznya.

  • Cantuman Tunas T/Cantuman Tunas T Terbalik/Cantuman Tunas Perisai
    Cara ini adalah antara teknik cantuman yang biasa digunakan untuk limau. Ia terhad kepada penanti berukuran 0.6-2.5 cm garis pusat, kerana pada peringkat ini pokok sedang tumbuh dengan aktif dan kulit kayu mudah dipisahkan dari kayunya.

    Untuk cantuman T pokok penanti dituris melintang dan ke bawah hingga membentuk T. Semasa menuris ke bawah mengguna pisau, kulit batang dibuka sedikit. Satu kepingan matatunas yang elok dipotong dengan pisau yang tajam. Kepingan matatunas ini ditolak ke bawah dua keping kulit yang telah terbuka pada pokok penanti.

    Untuk cantuman T terbalik pokok penanti dituris berbentuk T-terbalik iaitu turisan melintang di bawah turisan menegak. Semasa menuris melintang, pisau dipusingkan ke atas sedikit supaya turisan melintang dan melengkong sedikit.

  • Cantuman Tunas Serpihan (Chip budding)
    Cantuman ini dilakukan dengan membuat satu turisan yang sama pada pokok penanti dan matatunas. Turisan pertama dibuat disisi pok
    ok penanti, manakala turisan kedua dibuat memanjang ke bawah kira-kira 2.5 cm panjangnya hingga bertemu turisan pertama. Bagi keratan matatunas pula satu turisan melintang dibuat kira-kira 1 cm di bawah matatunas. Ini diikuti dengan satu lagi turisan 2.5 cm di atas matatunas hingga ke bawah bertemu dengan turisan pertama. Kepingan ini dicantum ke bahagian pokok penanti yang dipotong.

  • Cantuman Tunas Baji Sisi
    Serpihan mata tunas disediakan dengan membuat dua potongan yang sendeng, potongan A lebih panjang sedikit daripada potongan B. Kedua-dua potongan bertemu di bawah mata tunas. Potongan A dibuat di sebelah batang yang leper untuk mendedahkan kambium. Lepas ini serpihan ini dimasukkan ke pokok penanti yang telah siap dituris. Cantuman biasanya dibuat pada ketinggian 25-30 cm. dari paras tanah

    Anak benih di tapak semaian perlu dijaga dengan rapi. Anak benih perlu disiram 1-2 kali sehari mengikut keadaan cuaca, dibaja dan dibuat kawalan serangga dan penyakit dari masa ke masa mengikut keperluan. Baja foliar boleh digunakan sebagai baja tambahan jika pertumbuhan pokok kurang subur. Selepas 2-3 bulan pokok cantuman boleh dipindah ke ladang.

. KAEDAH TUT DAN KAEDAH CANTUMAN BAJI CIKU

Kaedah tut biasa digunakan kerana tekniknya mudah dan pokoknya cepat berbuah. Kelemahan kaedah ini adalah bahan tanaman daripada satu pokok induk tidak banyak diperolehi. Pokok tut mudah tumbang terutama jika ditanam di kawasan yang mengalami angin kencang.

Cara Membuat Tut

Pucuk yang sihat mempunyai saiz dahan berukuran garispusat 1.0-1.2 cm dipilih untuk ditutkan. Satu lingkaran kira-kira 2 cm panjang dibuat pada batang pucuk. Lingkaran tersebut dibiarkan 1-2 minggu. Sedikit hormon seperti Seradix No. 2 disapukan pada lingkaran ini. Kepalan tanah disediakan dengan menggunakan campuran tanah atas dan tahi lembu dengan kadar 2:1. Campuran ini ditambah sedikit air sehingga boleh dikepal. Bahagian batang yang dilingkarkan dibalut dengan kepalan tanah dan seterusnya dibungkus dengan plastik dan diikat. Dahan akan mengeluarkan akar dalam masa 4-6 bulan. Dahan yang telah berakar ini boleh dipotong dan ditanam di dalam politen beg yang berisi tanah campuran iaitu tanah atas, pasir dan bahan organan dengan kadar 3:2:1.

Pokok tut ini disimpan selama 2-3 bulan di bawah rumah lindungan sebelum dialih ke ladang. Penyiraman dilakukan sekali sehari dan pastikan tanah di dalam politen beg tidak terlalu basah atau bertakung air. Proses penyediaan bahan tanaman ini memakan masa 7-10 bulan.

Kaedah Cantuman Baji

Kaedah penemuan baru dalam pembiakan ciku.

  • Penyediaan pokok penanti:

    Biji benih matang disemai di dalam kotak semaian berpasir. Percambahan bermula 3-4 minggu. Anak
    benih yang mempunyai 2 helai daun dialih ke dalam beg plastik bersaiz 20 cm x 30 cm berisi tanah campuran 3:2:1 (tanah atas: pasir : baja organan).

    Pokok penanti yang sesuai dicantum setelah berumur 10 bulan atau 15 cm tinggi. Bahagian pucuknya dipotong dengan menggunakan pisau cukur sepanjang 8-10 cm dari pangkal pokok. Pastikan bahagian pucuk yang tinggal masih berwarna hijau. Kemudian batang pokok penanti dibelah dua sepanjang 2 cm dengan pisau cukur tadi.

  • Penyediaan tunas pucuk:

    Pucuk yang sihat berukuran 8-10 cm
    panjang berwarna hijau keperangan dan berdaun daripada klon terpilih sebagai sion. Pucuk direndam di dalam larutan hormon seperti Pantas atau Indole Butyric Acid selama 10-15 minit dan dikeringkan dengan kain bersih. Dengan menggunakan pisau nipis, pangkal pucuk dipotong berbentuk baji atau V. Permukaan yang dipotong hendaklah rata dan licin serta berukuran kira-kira 2 cm panjang. Daun-daun dikerat separuh.

  • Penyisipan pucuk sion ke pokok penanti

    Pucuk akan disisipkan pada pokok penanti ya
    ng telah dibelah dengan kemas. Cantuman ini diikat tali rafia yang halus. Pokok yang telah dicantum ditutup dengan sarong plastik dan diletakkan di bawah lindungan. Beg plastik ini boleh ditanggalkan selepas didapati pucuk baru keluar pada tunas atau 1 bulan selepas cantuman. Ikatan tali boleh dibukakan selepas 1 1/2 hingga 2 bulan atau apabila didapati percantuman antara tunas pucuk sion dan pokok penanti telah kukuh. Anak cantuman baji yang telah berjaya boleh dialih ke ladang setelah berukur 5-6 bulan.






3. KAEDAH PEMANGKASAN POKOK (CANTAS)

Pemangkasan adalah penting bagi membentuk pokok menjadi seimbang dan tidak terlalu tinggi supaya mudah diurus ia juga dapat mengeluarkan hasil yang tinggi dan berkualiti. Terdapat tiga jenis cantasan iaitu:-

  • Cantasan Bentuk

    Pokok dibiarkan tumbuh dengan satu batang utama setinggi 1.5 m. Di awal musim hujan, batang utama dipangkas pada paras 1m untuk menggalakkan pengeluaran cabang. Batang pokok diikat pada kayu pancang supaya pokok tumbuh tegak. Beberapa tunas akan tumbuh di batang utama. Pilih empat batang yang agak teguh dan seimbang dan buang yang selebihnya. Tunas-tunas tadi dibiar tumbuh menjadi cabang pertama dan seterusnya membentu batang pokok.

    Apabila kesemua empat cabang pertama telah mencapai 1.5 m panjang, ia dicantas semula pada jarak 1m dari batang utama. Tunas-tunas baru akan tumbuh dan pilih tunas-tunas yang menghala keluar untuk disimpan. Gunting tunas yang tumbuh menghala ke arah dalam pokok untuk memberi bentuk pokok 'terbuka tengah'. Bentuk pokok yang seimbang dengan ruang dahan utama yang lapang akan mendapat pengudaraan dan cahaya matahari yang mencukupi. Ini akan menjamin pertumbuhan pokok yang sihat. Pemangkasan keseluruhan masih perlu diteruskan dua kali setahun sehingga pokok menghasilkan buah. Tunas-tunas air serta dahan berpenyakit dan cedera hendaklah digunting.

  • Cantasan Penjagaan (pokok dewasa)

    Pemangkasan seterusnya dibuat selepas pengeluaran hasil pertama. Potong dahan-dahan yang melentur serta mencecah tanah dengan menggunakan gunting atau gergaji pangkas. Gunting semua tunas air serta dahan yang menegak ke atas dan yang tumbuh menghala ke dalam pokok. Potongan hendaklah dibuat rapat ke dahan. Buang dahan-dahan yang mati dan berpenyakit hingga tanda-tanda mati atau penyakit tiada kelihatan pada dahan tersebut. Kemudian sapukan cat ke atas keratan tersebut untuk mengelakkan jangkitan merebak.

  • Pemangkasan Bunga dan Buah

    Pada keadaan terentu, pemangkasan bunga dan buah dilakukan untuk mempertingkatkan saiz dan kualiti buah. Ia dilakukan supaya buah tidak terlalu lebat dan mengurangkan kesan biennial bearing. Jika buash terlalu lebat ia akan menjejaskan pertumbuhan dan penghasilan tahun berikutnya. Kadar pemangkasan buah adalah bergantung kepada kesuburan pokok dan juga jumlah buah.

    Pemangkasan bunga dan buah dibuat dua kali (jika perlu). Pilih ranting yang matang dan gunting sebelum buku ruas. Berhentikan pengairan kepada pokok buat sementara bagi menggalakkan pengeluaran bunga. Empat minggu selepas pemangkasan bunga akan keluar sepenuhnya.


No comments:

Post a Comment

Sila tingalkan komen anda.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...